Namun sesuatu yang amat mendukacitakan ialah tidak ramai orang yang sakit menunaikan solat. Sekiranya dilakukan ‘ziarah’ ke hospital untuk melawat orang sakit, maka akan didapati hanya beberapa orang sahaja yang menunaikan solat di katil tempat perbaringannya, sementara ramai yang lain seolahnya tidak menyedari langsung tentang kewajipan menunaikan solat. Alasannya mudah sahaja...bagaimana hendak melakukan solat sedangkan berada dalam keadaan sakit!. Begitu juga orang yang menziarahi pesakit, amat jarang memberi ingatan kepada pesakit untuk menunaikan solat apabila tiba waktu solat, sebaliknya hanya membawa makanan atau buah-buahan untuk diberikan kepada pesakit, sedangkan dia sendiri memahami bahawa orang sakit tidak punya selera makan macam orang sihat!.
Persoalannya,
mengapakah solat tetap diwajibkan walaupun seseorang itu berada dalam
kesakitan? Sebenarnya, ia jelas menunjukkan bahawa solat merupakan asas
utama ibadah di dalam Islam. Hubungan dengan Allah tetap diteruskan
walau kita berada dalam keadaan apa sekalipun, dan sesuatu yang lebih
penting ialah kita sebagai hamba Allah amat mengharapkan pertolongan
Allah dalam setiap ketika dan waktu, oleh itu kita berkewajipan
mengingati Allah dengan menunaikan perintahNya.
Namun, Islam sebagai agama fitrah memberikan rukhsah
kepada penganutnya dalam melaksanakan ibadah. Orang yang sakit
diberikan kemudahan di dalam ajaran Islam untuk menunaikan solat
mengikut keupayaannya. Ajaran Islam tidak memaksa
orang yang sakit berdiri untuk menunaikan solat sekiranya pesakit itu
tidak mampu untuk berdiri. Akan tetapi solat hendaklah diklakukan
menurut kemampuan dan keupayaannya yang tersendiri. Sahabat nabi iaitu ‘Imran bin Husain r.a telah
bertanya kepada nabi tentang bagaimana beliau hendak melakukan solat
dalam keadaan beliau mempunyai penyakit buasir, lalu nabi Muhammad saw
menjelaskan kepada beliau: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).
Antara hikmah diberikan rukhsah
solat ketika sakit adalah untuk membuktikan bahawa Islam agama yang
mudah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud: “...Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menghadapi kesukaran...”. Selain itu, rukhsah
dalam solat juga menunjukkan betapa kasih sayang Allah pada hambaNya.
Justeru, sebenarnya tidak ada sebarang alasan untuk tidak menunaikan solat kerana kita dapat melaksanakannya mengikut kemampuan dalam sebarang keadaan.
(Sumber : http://www.ustazshauqi.com/2008/06/kaedah-menunaikan-solat-ketika-sakit.html)
No comments:
Post a Comment